Tanggal 10-Feb-2009, aku melangkahkan kaki ke pejabat CIMB. CIMB bukanlah asing bagiku cuma agak kekok juga pada mulanya setelah hampir 2 tahun bergerak secara freelancer. Kenapa pula aku ingin bekerja setelah 2 tahun bergerak sendirian? Tak lain dan tak bukan ialah tawaran mereka berjaya memikat aku untuk menyumbang kepakaran bersama CIMB. Aku bukanlah kakitangan CIMB tetapi bertindak sebagai Consultant yang diikat untuk tempoh setahun bersama mereka.

Aku kini bertugas di bahagian Analytics and Strategy yang menyokong sistem pengurusan kredit Direct Banking and Cards, CIMB. Tugas utamaku adalah memastikan bahagian ini mampu menyokong sistem baru yang akan digunakan pada tahun ini dan melakukan proses Transfer Of Knowledge kepada kakitangan bank.

Selain daripada itu, aku juga kini agak sibuk memastikan anak-anakku pergi ke sekolah setiap pagi. Ketika isteriku bersiap untuk ke tempat kerja, aku pula digerakkan pada jam 6:40 pagi. Selepas solat Subuh, aku bergegas menghidupkan enjin kereta dan memasak air untuk mandian Syahmi dan Haziq. Serentak dengan itu juga mesin basuh dihidupkan untuk proses rendaman.  Selepas itu aku meletakkan baby Imran didalam kereta dan isteriku terus masuk kereta dan bergegas ke Taska untuk menghantar baby Imran dan terus ke tempat kerjanya. Jam pada ketika itu sekitar 6:55am.

Jam 7 pagi kelihatan Syahmi dan Haziq menuruni tangga dan melepak di sofa dengan mata kelat mereka. Aku terus menyiapkan air mandian panas buat mereka. Dengan sekali arahan, kedua-duanya bergegas ke bilik air. Memang aku agak tegas dalam hal mengeluarkan arahan. Kalau tak buat begitu memang banyak masa akan dibazirkan, hanya rotan sahaja yang mampu menewaskan mereka. Kedua-duanya akan bergerak pantas membuka baju dan seluar dan berebut-rebut di mangkuk tandas untuk kencing, adik tolak abang, abang tolak adik…biasala tu.

Selepas aku mandikan, aku lapkan badan mereka dan terus meletakkan sedikit bedak. Aku berikan mereka baju sekolah PASTI, lalu mereka pakai sendiri. Aku terus siapkan sarapan buat mereka dan ‘on’kan ASTRO Ceria buat mereka enjoy seketika. Jam terus meluncur laju dan ketika itu menunjukkan angka 7:30am.

Aku terus ke atas untuk bersiap.  10minit kemudian aku telah siap untuk keluar rumah dan dengan sekali arahan “Habiskan makanan, minuman, tutup TV dan pakai kopiah dan bag”. Mereka dengan berat hati buat semua yang disuruh lalu melangkah layu menyarung selipar. Aku terus menghidupkan motor dan mengunci rumah. Macam biasa si Haziq hari-hari mengidam naik motor manakala si abang nak jalan kaki aje untuk control macho.

Aku tiba di PASTI jam 7:55am dan Haziq terus kaku di atas motor. Macam biasa, Cikgunya akan membawanya turun dari motor manakala abangnya rilek aje memasuki perkarangan sekolah. Aku pun terus memecut laju ke pejabat.

Begitula aku sejak 10-Feb-2009 dan perkara yang sama akan berulang sehinggalah aku mendapat pembantu rumah yang mungkin akan tiba dalam 2-3 bulan lagi. Sabar ajela yang mampu aku katakan pada diriku. Ini belum cerita bab selepas pulang ke rumah lagi.